Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan – JKSNS telah ditubuh berdasarkan Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak Negeri Sembilan pada 1960, dinamakan Mahkamah Kadi yang ditadbir dibawah pentadbiran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan – JHEAINS. Pada tahun 1986, telah berlaku penyusunan semula Mahkamah dan dinamakan Mahkamah Syariah. Pada tahun 1991, Mahkamah Syariah telah diasingkan dari pengurusan JHEAINS dan mempunyai pentadbiran sendiri yang dinamakan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan.
JKSNS terdiri daripada Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi dan 7 buah Mahkamah Rendah. Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rendah Seremban terletak di kawasan yang sama di Seremban manakala Mahkamah Rendah yang lain terletak di daerah-daerah iaitu Kuala Pilah, Tampin, Jelebu, Jempol, Port Dickson dan Rembau. Pusat pentadbiran JKSNS beroperasi di Mahkamah Tinggi Syariah.
JKSNS bertanggungjawab mengurus perjalanan kes Mal dan kes Jenayah di semua peringkat; Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah berdasarkan bidangkuasa yang diberikan di bawah Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam, Enakmen Pentadbiran Agama Islam, Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah, Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah dan Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Sembilan ) 2003.